top of page

Sudut Tambisan

Selepas diisytiharkan sebagai Batalion Ke-21 RAMD, batalion telah meneruskan tugas-tugas yang diberikan dan perkara pertama yang dilaksanakan adalah EKSESAIS TAIHA TOMBAK V mulai 13 hingga 25 Januari 1983 di kawasan KULAI – KOTA TINGGI. Semenjak dari itu, batalion ini mula mengorak langkah dan telah berusaha untuk berdiri sama gagah dengan pasukan-pasukan Rejimen Askar Melayu Diraja yang lain. Batalion Kedua Puluh Satu, Rejimen Askar Melayu Diraja mempunyai kejayaan serta pengalamannya yang tersendiri dalam melaksanakan tugas-tugas yang dipertanggungjawabkan. Diantara peristiwa yang telah dialami adalah pertempuran di Pulau Tambisan, Sabah.

 

Semuanya bermula pada 1 September 1993 lebih kurang jam 0725, semasa pasukan menjalankan Operasi BELASAH Siri 5/93 di Pulau Tambisan, Sabah, sub unit daripada Pl 2 Komp A yang berkekuatan 6 anggota melaksanakan rondaan di Pulau Tambisan Timur (GR 159032) menggunakan perahu tempur telah melihat 2 buah bot laju.Kedua-dua bot berkenaan berada di tengah-tengah laut dan sedang menuju ke arah mereka. Apabila di jarak antara 150 ke 100 meter, mereka telah melihat 3 laras senjata M 16 berada di tangan orang yang berada di dalam bot laju berkenaan. Insiden tembak menembak telah berlaku selama 6 minit. Insiden ini telah mengakibatkan 2 orang lanun terbunuh dan 3 orang lagi tercedera. Tiada kecederaan yang dialami oleh sub unit.Hasil dari kejayaan ini, Leftenan Suhaidi bin Saad (3005212) telah dianugerahkan Pingat Gagah Berani (PGB) dan anggotanya seramai 5 orang telah dianugerahkan Pingat Kepujian Perutusan Keberanian (KPK). Mereka ialah 1042638 Kpl Razak bin Ahmad, 1041879 Pbt Azim bin Rafi, 1071628 Pbt Norlijan bin Pungut, 1082826 Pbt Kamaruddin bin Atan dan 1086048 Pbt Kamaruddin bin Khamis.

bottom of page